Thursday, June 2, 2016

Pesanan


Allah menjadikan kehidupan hakiki manusia ketika berada di akhirat. Berbeza dengan kehidupan dunia yang selalu berubah-ubah mengikut cubaan yang diberikan-Nya bagi menguji amalan manusia. Hari ini seorang hamba Allah kuat, tetapi mungkin esok dia lemah. Hari ini dia kaya, mungkin esok dia miskin. Segala sesuatu di dunia ini berubah dan berganti-ganti.

Dia menjadikan perubahan ini untuk menyatakan bahawa Dia berkuasa di atas segala sesuatu yang semuanya berasal dari-Nya. Kita sebagai hamba tidak memiliki apa-apa, Kekayaan, kesihatan, kecerdikan hatta tempoh kita berada di dunia pun Allahlah yang menetapkannya.

Jangan sia-siakan masa. Hendaklah kita tunduk kepada-Nya, sebagaimana tunduknya matahari, bulan, lautan, udara, haiwan, tumbuhan dan segala ciptaan-Nya yang lain.

Allah S.W.T. berfirman: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya. Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang mengingkari terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya terhadap) perjumpaan dengan-Nya, maka sia-sialah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari Kiamat. " (Surah Al Kahfi ayat 103-105).


Ilmu tanpa amal itu sia-sia. Redha Allah jauh lebih baik dari redha manusia. Redha Allah membawa ke syurga. Redha manusia membawa kemusnahan belaka.


Antara bala besar pada akhir zaman ini ialah diangkat oleh Allah SWT khusyuk di dalam solat. Bagaimana mahu khusyuk jika mata tidak dijaga? Apa yang dilihat daripada sesuatu yang diharamkan pasti mengkelamkan hati. Bila hati sudah kelam maka terhijablah hati seseorang itu daripada merasai kehebatan Allah S.W.T. Tidak akan dapat khusyuk jika hati tidak dapat merasai kehebatan Allah S.W.T. Hati sebegini pasti lalai dan menjadi kelaziman bagi hati yang lalai pasti bergelumang dalam lembah maksiat. Maka hati bertambah kelam. Bertambah kelam dan kelam sehingga hilanglah nur Iman.

Na'uzubillahi min zalik

No comments:

Post a Comment