Thursday, June 2, 2016
Peringatan Ustaz Shauqi Hassan
Alhamdulillah kita masih bernyawa lagi hari ini. Bangun pagi dengan nikmat kesihatan, iman dan Islam serta masih mampu bernafas untuk menguruskan urusan duniawi. Senyuman masih mampu kita ukir di samping keluarga tersayang.
Pejam celik, pejam celik. Dah masuk bulan Jun rupanya hari ini. Sedar tak sedar hampir setengah tahun kita mengharung dunia dan segala alam yang kita duduki.
Ada yang bertarung nyawa di alam pekerjaan. Demi mencari sesuap nasi dan nafkah untuk siisi keluarga.
Ada pula yang memerah otak bertarung akal menuntut ilmu di alam universiti dan sekolah. Hanya untuk mendapatkan segulung ijazah dan sekeping sijil dambaan ibubapa.
Ada di kalangan kita yang sedang bertarung emosi dalam alam rumahtangga untuk mengimbangi peranan sebagai suami isteri. Ada yang lebih dari suami nak belajar tundukkan ego, tak lupa yang dayus nak belajar rendahkan ego si isteri.
Dan macam-macam lagi kerenah manusia di alam masing-masing. Kerana itu kita semua perlu kembali merujuk Allah yang memiliki dan memerintah SELURUH ALAM manusia. Yang telah menetapkan setiap aturan dan peraturan, hukum hakam, perintah dan larangan, petunjuk dan jalan bagi kita melalui kitabnya.
BICARA ALLAH, RASUL DAN KITAB
Hari ini sudah masuk fasa baru bagi manusia mengikut kalendar masehi. Setahun bersamaan 365 hari. Mari kita lihat sejauh mana kita istiqomah mendekatkan diri kita kepada Allah dan risalah rasulnya iaitu al-quran. Bagaimana hubungan kita dengan mereka selama hari ini kita bernyawa dan hidup di atas segala nikmat kurniaan Allah.?
Al-quran berjumlah 6236 ayat. Dibahagi dengan setahun 365 hari kita patutnya sudah pun membaca paling kurang 17 ayat sehari. Andaikata kita istiqomah dan menjadikannya taqwim harian, sepatutnya sehingga hari ini kita sudah pun membaca sebanyak 2562 ayat selama 150 hari kita telah hidup pada tahun 2016.
Ayat ke 2562 terletak pada awal surah Al-Mukminun iaitu ayat pertama surah ke 23 dalam al-quran yang terletak pada permulaan juzuk ke-18.
Ini hanyalah matematik kanak-kanak sekolah rendah yang melibatkan campur, darab dan bahagi. 17 ayat sehari itu adalah tahap paling rendah dan pemalas bagi seorang yang mengaku beriman dan Islam macam kita.
Surah al-fatihah sahaja pun kita sudah ulang baca 17 kali sehari dalam setiap kali solat lima waktu. Apalagi saranan untuk membaca seluruh isi al-quran dan menguasai kefahaman daripada isi kandungannya.
Jika sehingga sekarang kita masih jauh tertinggal dari jangkaan sepatutnya. Maka kita masih hidup dalam ANGAN-ANGAN mengharapkan syurga Allah dengan harapan tua-tua nanti sempatkan qodho balik nak membaca al-quran.
Itu pun belum tentu sempat.
Al-quran hanya tinggal tulisan yang terbiar isi kandungan dan maksudnya. Anak-anak kita sudah jauh meninggalkan al-quran sebagai bacaan kerana makbapaknya sudah tidak kenal lagi al-quran.
Bila kita gantikan segala macam gajet, komputer, laptop, telefon, tablet dan pelbagai lagi instrumen hiburan dan kononnya alat bantu yang 'memandaikan' anak-anak kita! Sedarlah kita telah MENAFIKAN HAK ALLAH untuk meletakkan al-quran di dada mereka.
Anak-anak hanyut dengan hiburan di depan mata. Penyakitnya pada alat yang ibubapa telah redho untuk dijadikan mainan anak-anak. Yang merosakkan minda dan melalaikan MASA mereka adalah ibubapa yang mengambil mudah untuk melepaskan beban tanggungjawab mendidik anak.
Nak didiamkan anak, DIRASUAHNYA anak dengan kartun dan lagu.
Nak disenyapkan anak, DIMATIKAN jiwa mereka dengan mainan dan hiburan.
Dunia sudah terbalik. Pada ibubapa sekarang yang mereka nampak MENGHIDUPKAN jiwa anak-anak adalah televisyen, hiburan, artis, filem, bola, sukan dan sebagainya.
Padahal yang benar-benar menghidupkan jiwa kita ialah al-quran berupa ilmu yan mengatur hidup kita untuk mengabdikan diri kepada Allah. Bukan segala hiburan menjadikan kita hamba, pengabdi kepada artis dan segala idola pujaan manusia.
Allah dibuang daripada menjadi pengatur hidup.
Rasul ditolak segala sunnah dan cara hidupnya.
Al-quran dipijak terang-terangan, dilangkah segala perintah dan larangannya.
ADAKAH KITA MASIH BERBANGGA DENGAN HIDUP KITA SEKARANG??? Sedangkan kita masih terlalu jauh dari memahami erti dan tujuan hidup dalam mengabdikan diri kita sepenuhnya kepada segala perintah Allah.
Di mana kita ketika ini? Dekat atau jauh dengan Allah dan Rasul? Layakkah syurga untuk kita?
SHAUQI
"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu". (Surah al-Israk, 17: 14)
[Pesanan Ustaz Shauqi Hassan]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment