Saturday, June 18, 2016

Tanda Mendapat Taufik atau Kehinaan Dari Allah


3 TANDA MENDAPAT TAUFIK & KEHINAAN DARI ALLAH

Tanda-tanda anda mendapat Taufik itu ada tiga perkara:

1. Mudah mengerjakan amal kebaikan, padahal tiada niat dan bukan tujuanmu.
️2. Berusaha untuk melakukan maksiat, tetapi selalu terhindar daripadanya.
3. Selalu terbuka pintu mohon pertolongan dan iftiqar (berhajat) kepada ALLAH Taala dalam setiap hal.( Syarah Hikam )

Tanda-tanda dibiarkan (dihinakan) oleh ALLAH Taala ada tiga perkara:

1. Sukar melakukan ibadat (taat), padahal sudah berusaha bersungguh-sungguh.
2. Mudah terjerumus ke dalam maksiat, padahal sudah berusaha untuk menghindarkannya.
3. Tertutupnya pintu permohonan hajat kepada ALLAH Taala sehingga merasa tidak perlu berdoa dalam segala hal. (Syarah Hikam )

Wednesday, June 8, 2016

Muhasabah Buat Diri


👉Waktu sedang "Di Puncak" kita merasa banyak teman di sekeliling kita.
👉Waktu sedang "Berkuasa" kita percaya diri boleh melakukan apa saja.
👉Waktu sedang "Tidak Berdaya" barulah kita sedar siapa sebenarnya sahabat sejati yang kita ada..
👉Waktu sedang "Jatuh" kita baru sedar selama ini, siapakah teman yang memperalat dan memanfaatkan kita.
👉Waktu sedang "Sakit" kita baru tahu bahawa sihat itu sangat penting, jauh melebihi harta.
👉Waktu kita "Miskin" baru kita insaf pentingnya amalan sedekah walaupun seringgit dan saling membantu saudara kita..
👉Masuk "Usia Tua" baru kita tahu rupanya masih banyak amalan dituntut Allah yang belum dikerjakan/banyak ilmu yang kurang dan baru kenal jalan ke masjid.
👉Saat "Di Ambang Ajal" kita baru tahu ternyata begitu banyak waktu yang terbuang sia-sia.


Hidup tidaklah lama. Sudah masanya kita bersama-sama membuat HIDUP LEBIH BERHARGA:
Saling menghargai,
Saling membantu,
Saling memberi,
Saling mendukung.

Jadilah teman setia tanpa syarat...Jangan saling memotong dan menggunting sesama teman...Tunjukkanlah bahawa kita masih mempunyai Hati Nurani yang tulus. Jauhkan niat jahat untuk mencelakai atau memfitnah. Jauhkan niat memaksa seseorang melakukan suatu hal untuk kepentingan peribadi kita.

Apa yang ditabur itulah yang akan dituai. Allah S.W.T. tidak pernah menjanjikan langit selalu biru, bunga selalu mekar, mentari selalu bersinar.
Tetapi ketahuilah bahawa Allah S.W.T. selalu memberi pelangi di setiap badai, senyum di setiap air mata, Rahmat dan berkat di setiap cubaan, dan jawapan di setiap doa......

Jangan pernah menyerah. Teruslah istiqamah beribadah kerana...hidup ini terlalu indah....Hidup bukan suatu tujuan, melainkan sebuah persinggahan sementara...

Indahnya hidup bukan kerana ramai orang mengenal kita, namun berapa ramai orang yang merasa bahagia kerana mengenali kita.

[Profesor Dr. Muhaya Mohamad]

Thursday, June 2, 2016

Peringatan Ustaz Shauqi Hassan


Alhamdulillah kita masih bernyawa lagi hari ini. Bangun pagi dengan nikmat kesihatan, iman dan Islam serta masih mampu bernafas untuk menguruskan urusan duniawi. Senyuman masih mampu kita ukir di samping keluarga tersayang.

Pejam celik, pejam celik. Dah masuk bulan Jun rupanya hari ini. Sedar tak sedar hampir setengah tahun kita mengharung dunia dan segala alam yang kita duduki.

Ada yang bertarung nyawa di alam pekerjaan. Demi mencari sesuap nasi dan nafkah untuk siisi keluarga.

Ada pula yang memerah otak bertarung akal menuntut ilmu di alam universiti dan sekolah. Hanya untuk mendapatkan segulung ijazah dan sekeping sijil dambaan ibubapa.

Ada di kalangan kita yang sedang bertarung emosi dalam alam rumahtangga untuk mengimbangi peranan sebagai suami isteri. Ada yang lebih dari suami nak belajar tundukkan ego, tak lupa yang dayus nak belajar rendahkan ego si isteri.

Dan macam-macam lagi kerenah manusia di alam masing-masing. Kerana itu kita semua perlu kembali merujuk Allah yang memiliki dan memerintah SELURUH ALAM manusia. Yang telah menetapkan setiap aturan dan peraturan, hukum hakam, perintah dan larangan, petunjuk dan jalan bagi kita melalui kitabnya.

BICARA ALLAH, RASUL DAN KITAB

Hari ini sudah masuk fasa baru bagi manusia mengikut kalendar masehi. Setahun bersamaan 365 hari. Mari kita lihat sejauh mana kita istiqomah mendekatkan diri kita kepada Allah dan risalah rasulnya iaitu al-quran. Bagaimana hubungan kita dengan mereka selama hari ini kita bernyawa dan hidup di atas segala nikmat kurniaan Allah.?

Al-quran berjumlah 6236 ayat. Dibahagi dengan setahun 365 hari kita patutnya sudah pun membaca paling kurang 17 ayat sehari. Andaikata kita istiqomah dan menjadikannya taqwim harian, sepatutnya sehingga hari ini kita sudah pun membaca sebanyak 2562 ayat selama 150 hari kita telah hidup pada tahun 2016.

Ayat ke 2562 terletak pada awal surah Al-Mukminun iaitu ayat pertama surah ke 23 dalam al-quran yang terletak pada permulaan juzuk ke-18.

Ini hanyalah matematik kanak-kanak sekolah rendah yang melibatkan campur, darab dan bahagi. 17 ayat sehari itu adalah tahap paling rendah dan pemalas bagi seorang yang mengaku beriman dan Islam macam kita.

Surah al-fatihah sahaja pun kita sudah ulang baca 17 kali sehari dalam setiap kali solat lima waktu. Apalagi saranan untuk membaca seluruh isi al-quran dan menguasai kefahaman daripada isi kandungannya.

Jika sehingga sekarang kita masih jauh tertinggal dari jangkaan sepatutnya. Maka kita masih hidup dalam ANGAN-ANGAN mengharapkan syurga Allah dengan harapan tua-tua nanti sempatkan qodho balik nak membaca al-quran.

Itu pun belum tentu sempat.

Al-quran hanya tinggal tulisan yang terbiar isi kandungan dan maksudnya. Anak-anak kita sudah jauh meninggalkan al-quran sebagai bacaan kerana makbapaknya sudah tidak kenal lagi al-quran.

Bila kita gantikan segala macam gajet, komputer, laptop, telefon, tablet dan pelbagai lagi instrumen hiburan dan kononnya alat bantu yang 'memandaikan' anak-anak kita! Sedarlah kita telah MENAFIKAN HAK ALLAH untuk meletakkan al-quran di dada mereka.

Anak-anak hanyut dengan hiburan di depan mata. Penyakitnya pada alat yang ibubapa telah redho untuk dijadikan mainan anak-anak. Yang merosakkan minda dan melalaikan MASA mereka adalah ibubapa yang mengambil mudah untuk melepaskan beban tanggungjawab mendidik anak.

Nak didiamkan anak, DIRASUAHNYA anak dengan kartun dan lagu.

Nak disenyapkan anak, DIMATIKAN jiwa mereka dengan mainan dan hiburan.

Dunia sudah terbalik. Pada ibubapa sekarang yang mereka nampak MENGHIDUPKAN jiwa anak-anak adalah televisyen, hiburan, artis, filem, bola, sukan dan sebagainya.

Padahal yang benar-benar menghidupkan jiwa kita ialah al-quran berupa ilmu yan mengatur hidup kita untuk mengabdikan diri kepada Allah. Bukan segala hiburan menjadikan kita hamba, pengabdi kepada artis dan segala idola pujaan manusia.

Allah dibuang daripada menjadi pengatur hidup.
Rasul ditolak segala sunnah dan cara hidupnya.
Al-quran dipijak terang-terangan, dilangkah segala perintah dan larangannya.

ADAKAH KITA MASIH BERBANGGA DENGAN HIDUP KITA SEKARANG??? Sedangkan kita masih terlalu jauh dari memahami erti dan tujuan hidup dalam mengabdikan diri kita sepenuhnya kepada segala perintah Allah.

Di mana kita ketika ini? Dekat atau jauh dengan Allah dan Rasul? Layakkah syurga untuk kita?

SHAUQI
"Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu". (Surah al-Israk, 17: 14)

[Pesanan Ustaz Shauqi Hassan]

Pesanan


Allah menjadikan kehidupan hakiki manusia ketika berada di akhirat. Berbeza dengan kehidupan dunia yang selalu berubah-ubah mengikut cubaan yang diberikan-Nya bagi menguji amalan manusia. Hari ini seorang hamba Allah kuat, tetapi mungkin esok dia lemah. Hari ini dia kaya, mungkin esok dia miskin. Segala sesuatu di dunia ini berubah dan berganti-ganti.

Dia menjadikan perubahan ini untuk menyatakan bahawa Dia berkuasa di atas segala sesuatu yang semuanya berasal dari-Nya. Kita sebagai hamba tidak memiliki apa-apa, Kekayaan, kesihatan, kecerdikan hatta tempoh kita berada di dunia pun Allahlah yang menetapkannya.

Jangan sia-siakan masa. Hendaklah kita tunduk kepada-Nya, sebagaimana tunduknya matahari, bulan, lautan, udara, haiwan, tumbuhan dan segala ciptaan-Nya yang lain.

Allah S.W.T. berfirman: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya. Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya. Mereka itu orang-orang yang mengingkari terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya terhadap) perjumpaan dengan-Nya, maka sia-sialah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi (amalan) mereka pada hari Kiamat. " (Surah Al Kahfi ayat 103-105).


Ilmu tanpa amal itu sia-sia. Redha Allah jauh lebih baik dari redha manusia. Redha Allah membawa ke syurga. Redha manusia membawa kemusnahan belaka.


Antara bala besar pada akhir zaman ini ialah diangkat oleh Allah SWT khusyuk di dalam solat. Bagaimana mahu khusyuk jika mata tidak dijaga? Apa yang dilihat daripada sesuatu yang diharamkan pasti mengkelamkan hati. Bila hati sudah kelam maka terhijablah hati seseorang itu daripada merasai kehebatan Allah S.W.T. Tidak akan dapat khusyuk jika hati tidak dapat merasai kehebatan Allah S.W.T. Hati sebegini pasti lalai dan menjadi kelaziman bagi hati yang lalai pasti bergelumang dalam lembah maksiat. Maka hati bertambah kelam. Bertambah kelam dan kelam sehingga hilanglah nur Iman.

Na'uzubillahi min zalik

Nasihat Ustazah Fatimah Syarha


"Sesungguhnya orang orang yang berdosa, adalah mereka yang mentertawakan orang-orang yang beriman." (Surah al Mutaffifin, 29).

Ingin menjadi orang beriman, kena bersedia untuk diuji. Ditertawakan orang itu biasa. Tidak bahaya pun. Al Quran sudah siapkan 'mind set' itu. Yang bahaya, jika kita suka mentertawakan orang. Bimbang, itulah 'karekter' yang mengeluarkan kita daripada ciri orang ber'iman'. Nauzubillah min zalik!

Setiap hari kita diuji dengan pelbagai persepsi dan tanggapan orang. Bersabarlah. Pujilah Allah SWT siang dan malam. Di situ ada ketenangan, In Sha Allah.


Jika barang itu bagus, di kotak atau pembungkusnya juga tentu 'bangga' cerita yang bagus-bagus. Ada 1 benda ni, baca kotaknya saja dah gerun.
Belum lagi kaji sejarahnya, mudaratnya pada diri sendiri, orang lain, janin dan kehamilan. Mudarat pada tak makbulnya doa pengambil benda haram, ekonomi tersumbang kepada Zionis dan sebagainya. Bicara tentangnya bersama Ketua Hakim Syarie Pahang...Gerun juga dengar risikonya jika kita tak siapkan ilmu dan doa secukupnya sebelum menempuhi alam itu.