Thursday, March 31, 2016
Buat Dengan Ikhlas
Apabila Allah SW.T. menghendaki kebaikan dari seseorang hamba-Nya:
Nescaya Allah S.W.T. fahamkan kepadanya agama
Nescaya Allah S.W.T. zuhudkan hamba tersebut terhadap dunia
Nescaya Allah Swt memperlihatkan hamba tersebut kekurangan diri nya
Yang bermaksud:
Memahami agama dari pokok hingga ke akarnya
Zuhud terhadap dunia bererti mengosongnya hati dari menginginkan sesuatu yang tidak ada di tangan.
Matahari tidak pernah berkata kepada bumi, “Engkau berhutang kepadaku.“
Dalam soal keimanan dan keikhlasan begitulah diharapkan, kerana cahaya kebaikan dan keikhlasan tanpa di paksakan pasti menerangi seluruh angkasa dan seluas bumi yang terbentang.
Tunaikan apa yang telah diwajibkan oleh Allah S.W.T., nescaya akan menjadi orang yang abid (rajin beribadah). Jauhi apa yang Allah S.W.T. haramkan, nescaya akan menjadi orang yang zahid (ahli zuhud). Redhakan dengan apa yang Allah S.W.T. rezeki, nescaya akan menjadi orang yang paling kaya.
Amal kebajikan yang baik dan tulus adalah penyebab masuk syurga. Jangan pernah berhenti melakukan kebaikan meskipun kebaikan itu hanya sebesar debu. Di akhirat nanti kebaikan sekecil inilah penolong sejati.
Rasa cinta kepada Allah S.W.T. dan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w. merupakan peringkat cinta paling bening, jernih bahkan paling luhur dan sempurna. Saat seseorang mencintai Allah S.W.T. dan rasul-Nya, dia akan merasa manisnya iman. Hidup terasa lengkap dan bahagia, meskipun harta tidak seberapa.
Gantilah sesuatu yang fana dengan yang abadi kerana kita selalu dikejar oleh ajal, sedangkan membangunkan kesedaran diri untuk berbuat kebajikan tidaklah mudah. Tugas setiap mukmin di dunia ialah melakukan amalan soleh yang bermanfaat bagi dirinya dan juga orang lain. Semakin banyak kebaikan yang dilakukan, maka semakin tekun dan tersenyum malaikat mencatatkan kebaikan tersebut. Mukmin sejati sentiasa mengaitkan jalan dunia sebagai jambatan meraih kebahagiaan di akhirat. Itulah jalan iman dan taqwa yang berkekalan.
Allah S.W.T. telah berjanji kepada orang beriman dan bertaqwa kepada-Nya yang selalu menyandarkan kehidupan di bawah naungan Al Quran bahawa mereka akan mendapat banyak keredhaan-Nya. Keredhaan Allah adalah sesuatu yang paling agung dari semua nikmat yang ada di dunia dan di akhirat kelak. Allah telah berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ
خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Bermaksud: "Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang baik di surga 'Adn. Dan keredhaan Allah lebih besar (dari semua itu). Itulah kemenangan yang agung. (Surah At Taubah ayat 72).
Sifat Islam adalah Al Salam bererti damai dan sejahtera, yang merupakan tujuan sebenar Islam. Berdamailah dengan hati kerana tidak semua orang akan menyukai kita. Tetapi berbanggalah kepada Allah S.W.T. terhadap orang-orang yang tidak menyukai kita kerana Allah S.W.T. mungkin sahaja menyukai mereka lebih dari diri kita sendiri.Kerana kebanggaan ini Allah semakin sayang kepada kita.
[Cetusan hati Ustazah Dr Siti Nurbaya Usman]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment