Monday, February 22, 2016
Jambatan Menghubung Tembok Mengurung
Binalah jambatan yang menghubungkan, bukan tembok yang memisahkan. Binalah persahabatan yang menyambungkan, bukan permusuhan yang mengasingkan. Kita bina jambatan di antara ruang tembok yang dibina orang. Tidak mengapa bila kita harus menyeberang jambatan dan membawa suara persahabatan. In sya Allah lambat laun tembok itu akan runtuh dan hubungan yang terjalin menjadi sekukuh jambatan.
Sunday, February 21, 2016
Pembasmi Perosak Tumbuhan Organik
Beberapa bulan lalu pokok cili Anis Yeoh hampir mati diserang hama. Untuk menyelamatkan pokok ini Anis guna satu botol kecil air berkabonat yang telah hilang gasnya, sesudu besar cecair pencuci pinggan, sesudu besar minyak masak yang sudah terpakai, dicampur dengan air dalam nisbah 1:1. Sembur pada semua bawah daun. Hari kedua akan nampak hama mati. Anis sembur 2 hari berturut-turut dan kali ketiga atau kali terakhir seminggu selepas kali kedua. Alhamdulillah... ia kembali sihat dan berbuah. Anis cuba teknik ini pada pokok cili, pokok mengkudu, daun selom.Memang mujarab, siput, hama, ulat bulu semua jalan hapus..Selamat mencuba...
Khasiat Kulit Telur
Kulit telur boleh menghapuskan serangga dan makhluk perosak di rumah kita seperti lipas, tikus, kumbang, siput, anai-anai, belalang, kutu, hama, parasit pokok, dan banyak lagi serangga perosak tanaman atau dapur.
Kulit telur dikeringkan dahulu, kemudian ditumbuk halus menjadi serbuk seperti tepung. Simpan dalam botol kaca. Ia tahan lama bila disimpan, tidak mudaratkan manusia.
Pada waktu malam, tabur serbuk kulit telur di kawasan yang terkena serangan serangga perosak seperti di laluan serangga berkenaan, bawah pintu dapur, di celah-celah dapur dan sebagainya. Keesokan pagi, bersihkan semua bangkai serangga. Mengenai anai-anai pula tabur di lubang utama keluar masuk sarang, kalau jumpa sarangnya lebih baik.
[Sumber dari Golden Herbs]
Thursday, February 18, 2016
Bunga Janda Kaya
Terdapat 7 jenis pokok Janda Kaya atau Yellow Flame, nama saintifiknya Peltophorum Pterocarpum di seluruh negara tropika dan dua daripadanya berasal dari Semenanjung Malaysia. Pokok Janda Kaya yang kelihatan sama dengan pokok Semarak Api, sesuai dijadikan teduhan di taman atau hiasan di tepi jalan. Bunganya berwarna kuning terang berukuran 11/2 inci, berbentuk jambak pada tangkai yang menegak ke atas. Pada lewat petang bunganya menerbitkan haruman yang halus. Selepas bunga layu, buah-buah kecil mula terbentuk menggantikan tempatnya. Kewujudan buah-buah ini turut mengindahkan pokok. Kulit pokok Janda Kaya menghasilkan cairan berwarna kuning yang digunakan sebagai pewarna kain dalam industri batik di Indonesia. Kedai-kedai ubat di Pulau Jawa menjual kulit kayu ini yang dinamakan Kayu Timur sebagai penyembuh cirit-birit. Cairan jana kaya turut dijadikan losyen untuk melegakan sakit otot.
Wednesday, February 17, 2016
Penderitaan Anak Setinggan
PERKONGISAN PENGALAMAN SEORANG GURU YANG DEDIKASI:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri. Saya masih bersabar dengan keadaan pakaiannya.
Tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali anggukkan yang seolah-olah dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya.
Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untuk dirotan. Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun dia masih tetap datang ke sekolah dan masih tetap lambat. Suatu hari saya bercadang untuk mengintip dia ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif.
Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah. Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari-lari sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang. "Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?"
Dia terkejut dan wajahnya berubah. "Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu," jawabnya.
"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?"
“ Mak pesan, jangan meminta-minta pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu."
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, "Maafkan cikgu." Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
Subscribe to:
Posts (Atom)